Wednesday, August 20, 2008

Negativiti

Telah pun luntur
Warna-warna moraliti.

Dunia kini
Kekeringan nilai-nilai budaya
Nafsu datang melanda
Dari segenap pelusuk
Melemahkan jiwa insan kini.

Yang buruk disanjungi
Yang baik dipijak
Keimanan terkubur
Di sebalik nafsu rakus.

Manusia, dimanakah kamu berada?
Tampillah ke depan
Agar dapat ku lihat
Keangkuhan kamu
Yang kamu sanjungi
Bagai mahligai bertatahkan berlian
Di sisi bulan purnama
Yang putih berseri.

Kau telah hilang dihanyut nafsu
Nafsu yang tiada batasnya
Mengaburi mata jernih mu
Agar kamu mengingkari
Arus kebenaran.

Tradisi
Hanya tinggal kenangan
Satu memori di jiwa alam.
Kewujudan kemodenan
Membaja pertumbuhan kota-kota baru
Yang menjadi sarang
Maksiat yang berpeleseran
Di hati manusia durjana.

Ke manakah tujuan kamu?
Berbekalkan nafsu syaitan
Yang bakal menggerudi
Jasad dan jiwamu
Sehingga kamu meraung kesakitan
Yang tiada terperi.


(30 Ogos 1996, SCAP, Pulau Pinang)

©cyclopseven. All rights reserved 210808.

Hipokrit

Kering kontang
Hati manusia durjana.

Bara api
Jadi taulan sejati
Dilempar kata-kata panas
Melecur hati-hati suci.

Entah ke mana haluan ditujui
Manusia sesat dalam diri sendiri,
Kasih sayang dihulur
Air dilidah yang disasarkan,
Genggaman kemurniaan dibina sekeliling
Pagar duri yang disanjungi,
Ajaran mulia diminta amal
Nafsu rakus diberi tumpang,
Dan, punahlah naluri kemanusiaan
Dipukul ombak yang kontang.

Masihkah ada hari-hari positif untuk diharapkan
Agar cahaya terang menerangi kegelapan?

Masihkah mampu insan sejati
Melawan arus yang membidai bagai cemeti?

Atau, wujudkan satu penyisihan
Yang menghiris kemanusiaan itu sendiri?

Di manakah letaknya keadilan?
Di manakah letaknya kebenaran?


(31 Oktober 1996, SCAP, Pulau Pinang)

©cyclopseven. All rights reserved 210808.

Friday, August 1, 2008

Pelarian Pengangguran

Mentari sudah lenyap
Cengkerik telah mula berbisik
Keringat di dahi masih belum kering.

Bara masih merah
Periuk hanya berisi nasi putih
Ulam hanyalah pucuk paku.

Perut sudah mula beragam
Segelas air menghiasi meja usang
Labah-labah bersarang di bawahnya
Menunggu makan malam.

Sesuap nasi ditelan
Emosi berat bertambah lagi
Perut-perut mentah turut menanggung sengsara
Sebabnya?
Mereka tidak pernah soal.

Pelita menyala malap
Memudarkan lagi hidup yang sememangnya pudar.

Bekas-bekas usang disusun rapi.
Di atas lantai yang bersimenkan bumi.

Dalam kemalapan bara bergerak tinggi
Satu tanda tagihkan kepuasan
Asap berkepul dihembus
Menembusi naluri yang berkocak.

Tidur hanya sekadar menutup mata.
Minda tetap terbuka luas.

Kampung halaman ditinggal
Sungguh jauh membawa diri.
Hidup sekadar untuk hari esok
Sehelai sepinggang datang ke sini.

Bilakah nasib baik akan menjelma?

Apakah jawapannya sudah sedia wujud?

Itulah nasib hidup pelarian pengangguran.

(Disember 1997, Pulau Pinang)


©cyclopseven. All rights reserved 020808

Harapan Pudar

Tika senja mengucup
Bucu bumbung rumahku
Ku sedar dari lamunan
Yang menghayalkan,
Hidup semakin jauh tampaknya
Manusia masih bergelumang
Di tabir harapan
Harapan yang samar
Entah ke mana tujuan,
Tanpa haluan termaktub harapan
Yang menharapkan
Sentiasa mengharapkan, keajaiban.

Di mana wujudnya
Sempadan pemisah
Antara
Yang hakiki
Dan
Illusi.

(Jun, 1988 - Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur)

©cyclopseven. All rights reserved 020808.

Hanyutnya Jasad Kerana Nafsu

bagai anai dalam gerunggang batang serapuh
semakin hari semakin ganas mengorek bangkai reput
nafsu durjana meresap minda belia lalai
hinggakan pedoman secebis pudar seput.

mentari turun senja menjelma tiba
ibu berseranggung di serambi pondok tua
saban hari menanggung harapan yang sama
agar anak di rantau pulang berbekalkan ilmu waja
ilmu pembentuk akhlak mulia.

ayah di desa bermandikan lumpur
dari subuh hingga senja
berpuluh titisan peluh mencairkan lumpur sawah
demi niat murni membangunkan anak
menaiki anak-anak tangga di menara gading.

perut diikat nafsu disekat
demi mengisi tabung yang kosong
agar anak senang menimba ilmu.

nun...
dihujung perantaun anak berdansa liar
ilmu digadai; asas syaitan dijunjung tinggi
kononnya hidup ini hanya sekali
pengembaraannya hanya untuk sementara waktu.
ngapa harus disia-siakan?
biarlah kepuasan mencapai kemuncaknya
itulah persoalan, dan rasionalnya.

perbatasan sosial di lempar jauh
kesuma tercemar membina kamar di hati
ayah dan ibu tidak pernah diingati
angkara naluri berselera ganas
siang dan malam fikiran sentiasa beku
sifatnya bagai patung wayang kulit
yang bermain mempamirkan bayang sahaja.

angin sejuk yang membelai
mengukuhkan lagi nafsu syaitan
ditarik selimut tebal melitupi tubuh
siang nampak seperti malam.

angkara durjana yang membejatkan akan berterusan
selagi cahaya keinsafan belum tiba
membebaskan jiwa dari cengkaman syaitan.

(1984, U6A1, Sek. Men. Clifford, Kuala Kangsar, Perak)

©cyclopseven. All rights reserved 020808