Friday, August 1, 2008

Hanyutnya Jasad Kerana Nafsu

bagai anai dalam gerunggang batang serapuh
semakin hari semakin ganas mengorek bangkai reput
nafsu durjana meresap minda belia lalai
hinggakan pedoman secebis pudar seput.

mentari turun senja menjelma tiba
ibu berseranggung di serambi pondok tua
saban hari menanggung harapan yang sama
agar anak di rantau pulang berbekalkan ilmu waja
ilmu pembentuk akhlak mulia.

ayah di desa bermandikan lumpur
dari subuh hingga senja
berpuluh titisan peluh mencairkan lumpur sawah
demi niat murni membangunkan anak
menaiki anak-anak tangga di menara gading.

perut diikat nafsu disekat
demi mengisi tabung yang kosong
agar anak senang menimba ilmu.

nun...
dihujung perantaun anak berdansa liar
ilmu digadai; asas syaitan dijunjung tinggi
kononnya hidup ini hanya sekali
pengembaraannya hanya untuk sementara waktu.
ngapa harus disia-siakan?
biarlah kepuasan mencapai kemuncaknya
itulah persoalan, dan rasionalnya.

perbatasan sosial di lempar jauh
kesuma tercemar membina kamar di hati
ayah dan ibu tidak pernah diingati
angkara naluri berselera ganas
siang dan malam fikiran sentiasa beku
sifatnya bagai patung wayang kulit
yang bermain mempamirkan bayang sahaja.

angin sejuk yang membelai
mengukuhkan lagi nafsu syaitan
ditarik selimut tebal melitupi tubuh
siang nampak seperti malam.

angkara durjana yang membejatkan akan berterusan
selagi cahaya keinsafan belum tiba
membebaskan jiwa dari cengkaman syaitan.

(1984, U6A1, Sek. Men. Clifford, Kuala Kangsar, Perak)

©cyclopseven. All rights reserved 020808

No comments: