Sunday, June 23, 2013

Satu Perantauan

Ketika ku meraung keseorangan
Dalam satu perantauan yang penuh misteri
Pelbagai perasaan menjelma mengabui kalbu
Yang sedih diiringi tangisan, yang gembira diiringi senyuman.
Perantauan yang termaktub dalam satu alam
Digelar alam maya, alam yang masih belum terungkai misterinya
Tetapi satu perjalanan yang berliku-liku ku harungi
Dengan bebanan dan hiasan dari suatu zaman yang hilang ditelan masa.
Hanya aku seorang sahaja saksi gelagat ku yang berwarna-warni
Warna-warna hidup, warna-warna harapan dalam pelbagai jelmaan
Hanya aku seorang yang mampu memahami maksudnya
Dan hanya aku seorang yang berdansa dalam kekeliruannya.

Satu perantauan yang tak jauh maupun dekat
Satu perjalanan bagaikan musafir yang sesat diayun badai
Kadang-kadang ku kaku terpaku mengenangkan kecohan hati
Yang melanda minda yang kekadang bercelaru dan juga bersuka-suka.
Aku, seorang musafir dalam mindaku sendiri
Tidak ku tahu samada aku mampu merangkak keluar dari mindaku
Yang penuh dengan sejarah, yang pahit dan juga manis
Tetapi realiti tidak dapat ku sangkal, harapan masih tidak ghaib,

Satu hari, satu jawapan, satu harapan
Tetap akan ku kecapi dalam perantauan ini.


©Hakcipta Cyclopseven - 230613.

Tuesday, November 16, 2010

Nostalgia

Kenangan itu sungguh sukar dilupakan
Tampak kukuh menggenggam jiwa ku
Satu perhentian antara 1972 – 1977
Di satu persimpangan antara Baling dan Kroh.
Sekolah Rendah Tunku Putra
Masih bernyawa teguh dengan muka baru
Di situlah bermula alam akademik ku
Satu perhentian yang kini bermain dalam kenangan.
Rakan-rakan satu kelas
Rakan-rakan satu sekolah
Tampil tiba-tiba dalam minda ku
Walaupun sejarah tampak samar, ingatan ku masih jelas.
Muka keanak-anakan rakan-rakan ku
Berlarian mengelilingi kantin dan padang bersebelahan
Ingatan ku bergayut kepada dua pohon gergasi
Tempat berteduh semasa rehat.
Kini 33 tahun sudah berlalu
Terkenang ku kembali alam yang dulu
Alam sekolah rendah yang penuh bermakna
Dengan senyuman dan mainan yang manja.
Masih ku ingat nama beberapa guru
Tanpa mereka tidak ke mana ku tujui
Cikgu Yaakub, Cikgu Faridah, Cikgu Kamalakaran
Cikgu Fatimah, Cikgu Kamsiah, Cikgu Hashimah
Cikgu Abu Bakar, Cikgu Tan….abang Kamal,
Dan banyak juga yang telah terpadam dari ingatan
Namun sentuhan ingatan ini agak nostalgik.

Masa penentu segala yang wujud, perpisahan itu nyata
Tetapi harapan masih bernyawa.
Suatu hari di masa depan, ku percaya akan berdepan
Dengan rakan-rakan ku sekalian.

©cyclopseven. Hakcipta terpelihara 171110.

Friday, August 13, 2010

Satu harapan


Bayu itu menawan
Ribut itu melawan
Satu membelai
Satu mencengkam.
Dua-duanya hukum alam
Yang mana satu baik?
Yang mana satu jahat?
Sukar untuk ku tentukan.

Sementara sahaja ku di sini
Bermacam persoalan menodai minda
Ku rasa hairan, memang hairan
Sebab, mengapa begitu ku terganggu oleh persoalan?
Hukum alam, hanya Pencipta yang mengetahui
Ku hanyalah satu perhentian di alam semesta ini
Terbentang luas naluri ku
Tertangkup angkara kebejatan diriku sendiri.
Masa penentu segala keputusan
Di akhir riwayat ku hanya inginkan satu keputusan
Agar tidak ku memperkasakan diriku
Dengan keangkuhan yang bangkal merentungkan.


©cyclopseven. Hakcipta terpelihara 130810.

Sunday, April 25, 2010

Politik

Ketika kemelut politik mengganas
lidah-lidah yang tidak bertulang
tidak perlu diajar apa yang manis
dan tidak perlu disogok dengan yang pahit.

kata-kata manis bersalut madu lebah
kata-kata kesat bersalut sirap semambu
berterbangan merentasi atmosfera
masing-masing mencari kawan dan lawan.

ahli-ahli politik bergelar wakil rakyat
dengan kekusutan minda masing-masing
berjuang siang dan malam demi satu kerusi
satu kerusi yang masih ghaib dari pandangan.

wang ringgit dan harta benda dilaungkan
mereka sanggup rendahkan mertabat diri
ahli politik maupun para penyokong
dalam kekeliruan tanpa haluan menggenggam angin.

kedangkalan pemikiran tiada batasan
yang kaya maupun miskin,
yang arif maupun bodoh
selagi nafsu membara sehingga itu kebejatan berleluasa.  


@cyclopseven. Hakcipta terpelihara 260410

Wednesday, March 17, 2010

Satu warkah untuk sahabatku

Kegelapan menyelubungi ruang hatiku
Sementara gelora mindaku turut kabur.
Di sebalik keheningan yang bercelaru
Satu warkah ingin ku wartakan untuk mu, sahabatku.

Entah kenapa tiba-tiba aku teringin mengalirkan tinta ini
Agar menghiasi ruangan putih terbentang luas dengan isi hatiku.
Wahai sahabatku, ku berharap semoga kamu sihat di sana
Ku di sini sihat sekadar jasad, emosi ku berombak liar.

Sekian lama dipisahkan oleh sempadan masa
Ku teringin benar untuk bertemu mu.
Ku terkenang hari-hari sekolah yang penuh meriah
Segala gelak ketawa yang hanya tinggal kenangan.

Ku sedar tiada yang kekal abadi di alam yang fana ini
Kesemuanya sekadar memenuhi keperluan deria.
Hubungan sesama manusia semakin rapuh
Namun ku berharap, hubungan kita kekal abadi.

Episod-episod hidup yang lampau tiba-tiba mencari ku
Ku tidak tahu mengapa, hanya kau yang menetap lama dalam memoriku.
Empat setengah dekad sudah berlalu di muka bumi
Mungkinkah harinya sudah tiba untuk ku mengundur diri?

Sahabatku, segala pengalaman yang dikongsi kita bersama
Ku tatap sebagai satu pedoman dalam menghayati hidup ini.
Sebelum masanya tiba melaungkan pemergian ku
Ku ingin sekali berjumpa kamu, hulurkanlah tanganmu sekali lagi.

©cyclopseven. Hakcipta terpelihara 170310.



Thursday, February 19, 2009

Minda beremosi

Ku dakap emosi ku

Emosi ku yang engkar

Engkar terhadap minda ku.

Hairan ku

Melihat minda dan emosi beradu

Entah siapa yang bakal menang.

Kini, masanya masih mentah

Ku tahu masanya masih mentah

Liku-liku hidup penuh ranjau

Terpercik darah membasahi hubungan

Hubungan yang tampak kekal

Tetapi pudar dan fana.

Seketika ku tergamam

Melihat sandiwara alam

Yang begitu halus,

Juga kasar.

Kekasarannya amat menyakitkan

Emosi beralun mendampingi ku

Sentiasa merenung dalam mataku

Ku hanya pasrah padaNya

Yang Satu.

Hakcipta cyclopseven. 200209.

Wednesday, August 20, 2008

Negativiti

Telah pun luntur
Warna-warna moraliti.

Dunia kini
Kekeringan nilai-nilai budaya
Nafsu datang melanda
Dari segenap pelusuk
Melemahkan jiwa insan kini.

Yang buruk disanjungi
Yang baik dipijak
Keimanan terkubur
Di sebalik nafsu rakus.

Manusia, dimanakah kamu berada?
Tampillah ke depan
Agar dapat ku lihat
Keangkuhan kamu
Yang kamu sanjungi
Bagai mahligai bertatahkan berlian
Di sisi bulan purnama
Yang putih berseri.

Kau telah hilang dihanyut nafsu
Nafsu yang tiada batasnya
Mengaburi mata jernih mu
Agar kamu mengingkari
Arus kebenaran.

Tradisi
Hanya tinggal kenangan
Satu memori di jiwa alam.
Kewujudan kemodenan
Membaja pertumbuhan kota-kota baru
Yang menjadi sarang
Maksiat yang berpeleseran
Di hati manusia durjana.

Ke manakah tujuan kamu?
Berbekalkan nafsu syaitan
Yang bakal menggerudi
Jasad dan jiwamu
Sehingga kamu meraung kesakitan
Yang tiada terperi.


(30 Ogos 1996, SCAP, Pulau Pinang)

©cyclopseven. All rights reserved 210808.