Wednesday, March 17, 2010

Satu warkah untuk sahabatku

Kegelapan menyelubungi ruang hatiku
Sementara gelora mindaku turut kabur.
Di sebalik keheningan yang bercelaru
Satu warkah ingin ku wartakan untuk mu, sahabatku.

Entah kenapa tiba-tiba aku teringin mengalirkan tinta ini
Agar menghiasi ruangan putih terbentang luas dengan isi hatiku.
Wahai sahabatku, ku berharap semoga kamu sihat di sana
Ku di sini sihat sekadar jasad, emosi ku berombak liar.

Sekian lama dipisahkan oleh sempadan masa
Ku teringin benar untuk bertemu mu.
Ku terkenang hari-hari sekolah yang penuh meriah
Segala gelak ketawa yang hanya tinggal kenangan.

Ku sedar tiada yang kekal abadi di alam yang fana ini
Kesemuanya sekadar memenuhi keperluan deria.
Hubungan sesama manusia semakin rapuh
Namun ku berharap, hubungan kita kekal abadi.

Episod-episod hidup yang lampau tiba-tiba mencari ku
Ku tidak tahu mengapa, hanya kau yang menetap lama dalam memoriku.
Empat setengah dekad sudah berlalu di muka bumi
Mungkinkah harinya sudah tiba untuk ku mengundur diri?

Sahabatku, segala pengalaman yang dikongsi kita bersama
Ku tatap sebagai satu pedoman dalam menghayati hidup ini.
Sebelum masanya tiba melaungkan pemergian ku
Ku ingin sekali berjumpa kamu, hulurkanlah tanganmu sekali lagi.

©cyclopseven. Hakcipta terpelihara 170310.



No comments: