Friday, August 1, 2008

Pelarian Pengangguran

Mentari sudah lenyap
Cengkerik telah mula berbisik
Keringat di dahi masih belum kering.

Bara masih merah
Periuk hanya berisi nasi putih
Ulam hanyalah pucuk paku.

Perut sudah mula beragam
Segelas air menghiasi meja usang
Labah-labah bersarang di bawahnya
Menunggu makan malam.

Sesuap nasi ditelan
Emosi berat bertambah lagi
Perut-perut mentah turut menanggung sengsara
Sebabnya?
Mereka tidak pernah soal.

Pelita menyala malap
Memudarkan lagi hidup yang sememangnya pudar.

Bekas-bekas usang disusun rapi.
Di atas lantai yang bersimenkan bumi.

Dalam kemalapan bara bergerak tinggi
Satu tanda tagihkan kepuasan
Asap berkepul dihembus
Menembusi naluri yang berkocak.

Tidur hanya sekadar menutup mata.
Minda tetap terbuka luas.

Kampung halaman ditinggal
Sungguh jauh membawa diri.
Hidup sekadar untuk hari esok
Sehelai sepinggang datang ke sini.

Bilakah nasib baik akan menjelma?

Apakah jawapannya sudah sedia wujud?

Itulah nasib hidup pelarian pengangguran.

(Disember 1997, Pulau Pinang)


©cyclopseven. All rights reserved 020808

No comments: