Wednesday, August 20, 2008

Negativiti

Telah pun luntur
Warna-warna moraliti.

Dunia kini
Kekeringan nilai-nilai budaya
Nafsu datang melanda
Dari segenap pelusuk
Melemahkan jiwa insan kini.

Yang buruk disanjungi
Yang baik dipijak
Keimanan terkubur
Di sebalik nafsu rakus.

Manusia, dimanakah kamu berada?
Tampillah ke depan
Agar dapat ku lihat
Keangkuhan kamu
Yang kamu sanjungi
Bagai mahligai bertatahkan berlian
Di sisi bulan purnama
Yang putih berseri.

Kau telah hilang dihanyut nafsu
Nafsu yang tiada batasnya
Mengaburi mata jernih mu
Agar kamu mengingkari
Arus kebenaran.

Tradisi
Hanya tinggal kenangan
Satu memori di jiwa alam.
Kewujudan kemodenan
Membaja pertumbuhan kota-kota baru
Yang menjadi sarang
Maksiat yang berpeleseran
Di hati manusia durjana.

Ke manakah tujuan kamu?
Berbekalkan nafsu syaitan
Yang bakal menggerudi
Jasad dan jiwamu
Sehingga kamu meraung kesakitan
Yang tiada terperi.


(30 Ogos 1996, SCAP, Pulau Pinang)

©cyclopseven. All rights reserved 210808.

Hipokrit

Kering kontang
Hati manusia durjana.

Bara api
Jadi taulan sejati
Dilempar kata-kata panas
Melecur hati-hati suci.

Entah ke mana haluan ditujui
Manusia sesat dalam diri sendiri,
Kasih sayang dihulur
Air dilidah yang disasarkan,
Genggaman kemurniaan dibina sekeliling
Pagar duri yang disanjungi,
Ajaran mulia diminta amal
Nafsu rakus diberi tumpang,
Dan, punahlah naluri kemanusiaan
Dipukul ombak yang kontang.

Masihkah ada hari-hari positif untuk diharapkan
Agar cahaya terang menerangi kegelapan?

Masihkah mampu insan sejati
Melawan arus yang membidai bagai cemeti?

Atau, wujudkan satu penyisihan
Yang menghiris kemanusiaan itu sendiri?

Di manakah letaknya keadilan?
Di manakah letaknya kebenaran?


(31 Oktober 1996, SCAP, Pulau Pinang)

©cyclopseven. All rights reserved 210808.

Friday, August 1, 2008

Pelarian Pengangguran

Mentari sudah lenyap
Cengkerik telah mula berbisik
Keringat di dahi masih belum kering.

Bara masih merah
Periuk hanya berisi nasi putih
Ulam hanyalah pucuk paku.

Perut sudah mula beragam
Segelas air menghiasi meja usang
Labah-labah bersarang di bawahnya
Menunggu makan malam.

Sesuap nasi ditelan
Emosi berat bertambah lagi
Perut-perut mentah turut menanggung sengsara
Sebabnya?
Mereka tidak pernah soal.

Pelita menyala malap
Memudarkan lagi hidup yang sememangnya pudar.

Bekas-bekas usang disusun rapi.
Di atas lantai yang bersimenkan bumi.

Dalam kemalapan bara bergerak tinggi
Satu tanda tagihkan kepuasan
Asap berkepul dihembus
Menembusi naluri yang berkocak.

Tidur hanya sekadar menutup mata.
Minda tetap terbuka luas.

Kampung halaman ditinggal
Sungguh jauh membawa diri.
Hidup sekadar untuk hari esok
Sehelai sepinggang datang ke sini.

Bilakah nasib baik akan menjelma?

Apakah jawapannya sudah sedia wujud?

Itulah nasib hidup pelarian pengangguran.

(Disember 1997, Pulau Pinang)


©cyclopseven. All rights reserved 020808

Harapan Pudar

Tika senja mengucup
Bucu bumbung rumahku
Ku sedar dari lamunan
Yang menghayalkan,
Hidup semakin jauh tampaknya
Manusia masih bergelumang
Di tabir harapan
Harapan yang samar
Entah ke mana tujuan,
Tanpa haluan termaktub harapan
Yang menharapkan
Sentiasa mengharapkan, keajaiban.

Di mana wujudnya
Sempadan pemisah
Antara
Yang hakiki
Dan
Illusi.

(Jun, 1988 - Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur)

©cyclopseven. All rights reserved 020808.

Hanyutnya Jasad Kerana Nafsu

bagai anai dalam gerunggang batang serapuh
semakin hari semakin ganas mengorek bangkai reput
nafsu durjana meresap minda belia lalai
hinggakan pedoman secebis pudar seput.

mentari turun senja menjelma tiba
ibu berseranggung di serambi pondok tua
saban hari menanggung harapan yang sama
agar anak di rantau pulang berbekalkan ilmu waja
ilmu pembentuk akhlak mulia.

ayah di desa bermandikan lumpur
dari subuh hingga senja
berpuluh titisan peluh mencairkan lumpur sawah
demi niat murni membangunkan anak
menaiki anak-anak tangga di menara gading.

perut diikat nafsu disekat
demi mengisi tabung yang kosong
agar anak senang menimba ilmu.

nun...
dihujung perantaun anak berdansa liar
ilmu digadai; asas syaitan dijunjung tinggi
kononnya hidup ini hanya sekali
pengembaraannya hanya untuk sementara waktu.
ngapa harus disia-siakan?
biarlah kepuasan mencapai kemuncaknya
itulah persoalan, dan rasionalnya.

perbatasan sosial di lempar jauh
kesuma tercemar membina kamar di hati
ayah dan ibu tidak pernah diingati
angkara naluri berselera ganas
siang dan malam fikiran sentiasa beku
sifatnya bagai patung wayang kulit
yang bermain mempamirkan bayang sahaja.

angin sejuk yang membelai
mengukuhkan lagi nafsu syaitan
ditarik selimut tebal melitupi tubuh
siang nampak seperti malam.

angkara durjana yang membejatkan akan berterusan
selagi cahaya keinsafan belum tiba
membebaskan jiwa dari cengkaman syaitan.

(1984, U6A1, Sek. Men. Clifford, Kuala Kangsar, Perak)

©cyclopseven. All rights reserved 020808

Wednesday, July 30, 2008

Kelkatu

Kelkatu berkumpul ramai
Mengabui keterangan lampu nion
Di malam yang baru reda hujannya
Di suata kota yang penuh dengan manusia.
Kesempatan diambil oleh kelkatu
Walaupun kesingkatan usia muda amat nyata
Untuk berdansa megah sepanjang malam
Dalam keterangan lampu nion di kota manusia.

Entah apa harapan kelkatu
Entah apa cita-cita hidup mereka
Entah kenapa mereka gemarkan cahaya nion
Entah…entah…entah….itulah jawapannya.
Tetapi kelkatu tampak riangnya lebih
Lebih dari manusia dalam kota konkrit.

Sukar diselami jiwa mereka
Mungkinkah minda mereka berkocak kesedihan
Kocakan yang dihiasi ombak tangisan tiada terperi
Seolah-olah pasrah pada kelemahan nafsu.
Tubuh badan diulit nafsu sepanjang malam,
Hanyut berkali-kali dalam dakapan liar pencuri hipokrit
Yang sentiasa mencuri masa
Yang sentiasa mencuri kejujuran
Yang sentiasa mencuri maruah.

Kelkatu-kelkatu
Tampak riang dalam dakapan liar
Keriangan yang punyai nilai-nilai tertentu
Tertakluk pada usia dan masa.
Kelkatu, penghuni rahsia
Mahligai nafsu
Bagi raja-raja kota
Yang kehausan kepuasan nafsu
Kepuasan yang bertatahkan nilai duitan.

Tika mentari menjelma
Kelkatu tergadai tubuh
Kembali ke sarang mereka
Beristirehat sekadar menjauhi keletihan tubuh
Hanya untuk kembali semula
Pada malam yang berikutnya
Di bawah sinaran malap lampu-lampu nion.

(15.12.1999, Simpang, Taiping, Perak)

©cyclopseven. All rights reserved 310708.

Mengapa, Tuhan ku, Mengapa?

Ku hidup sekadar memenuhi syarat
Syarat dari Pencipta yang tiada pernah ku lihat
Pencipta yang sentiasa ghaib dari dunia kasar.

Ia hanya mencipta
Ku yang merana
Sebabnya, tiada kelihatan.

Ku bertanya
Mengapa harus ku dicipta
Sekiranya Ia tahu kelak ku akan merana?
Di mana kasih sayangNya yang diperhebahkan, sentiasa?

Hanya darah jernih memimpin ku sehingga kini
Puas jawapannya ku cari
Namun aku masih hanyut tanpa arah
Dilibas ombak kerunsingan
Tanpa pegangan jati jawapan kukuh.

Ku cuba menggenggam realiti
Tapi apalah daya ku
Ku hanyalah satu rekaan untuk mainanNya
Dibuai ombak-ombak kasar
Masih berterusan kesengsaraan yang ku alami.

Pencipta Maha Kuasa
Tiada jawapan ku kira,
Mengapa ku dicipta?
Kerana ku merana
Angkara ciptaanNya yang ku tidak fahami
TAKDIR - diberi jawapan.

Apakah yang sebenarnya
Masih menggugat sanubari ku.


(21.4.1986, Batu 4.5, Jalan Klian Intan, Pengkalan Hulu, Perak)


©cyclopseven. All rights reserved 310708.

Aku, siapakah gerangannya aku?

Tika langit utara mengundang awan mendung
Penanda ketenangan yang masih kabur
Ku terpaku di serambi pondok usang ku
Dengan dua persoalan yang sukar ku cari jawapannya
Siapakah aku ini?

Mengapa hidup ku berombak liar
Siapakah sebenarnya aku ini?
Aku yang sentiasa ku lupa
Angkara kemelut perasaan yang tiada menentu.

Siapakah sebenarnya aku ini?
Aku yang bercabang pemikirannya
Pemikiran yang tidak ku ketahui asalnya.
Siapakah sebenarnya aku ini?
Aku yang riang
Aku yang sedih
Aku yang runsing
Aku yang keliru

Ku terbahagi dalam pelbagai rupa dan naluri
Sukar lagi ku rasa
Untuk memburu jawapannya
Kerana ku masih tidak pasti
Berapa ramaikah ‘aku’ yang wujud dalam diriku ini.
Sekiranya aku itu terus menghuni diri aku
Dapatkah ku huraikan rahsia
Siapakah aku sebenarnya

Apakah aku itu ku sendiri?
Atau
Ku menjadi aku yang tiada kewujudannya.


(2 /4/86, Taman Tasik (Takong) Pengkalan Hulu, Perak)


©cyclopseven. All rights reserved 310708.

Tuesday, July 29, 2008

Minda

Ku kaku dalam kerunsingan
yang mendidih panas
melemahkan semangat
walau sebagaimana kuat.

hari-hari yang lampau
masih berdansa dalam kenangan ku
ku tidak pasti ngapa sukar untuk dilupai.

minda, sememangnya sesuatu yang aneh
ku berfikir dengan minda
ku menganalisa minda ku dengan minda
sungguh kagum misteri ini
ku terpegun seketika
memikul misteri yang membingungkan ini
minda penentu segala yang fana dan
juga yang alim.

©cyclopseven. All rights reserved 300708.

Ku Hanyalah Satu Kewujudan....


ku hanyalah satu kewujudan
saban hari ku hidup menatap wajah-wajah alam

ku hanyalah satu kewujudan
saban hari ku berdoa pada yang maha kuasa

ku hanyalah satu kewujudan
saban hari ku berusaha memperbaiki usaha ku

ku wujud sebagai anak
ku wujud sebagai kawan
ku wujud sebagai adik
ku wujud sebagai abang
ku wujud sebagai pelajar
ku wujud sebagai rakan kerja
kini ku kembali semula wujud sebagai pelajar.

aneh sungguh rasanya kewujudan ini.
ya ku seorang pelajar yang sedang belajar
ya ku seorang pekerja yang sedang belajar

ku senyum keseorangan
tidak ku sangka ku kembali semula sebagai pelajar
tanggungjawab ku bertambah
menjadi berjela-jela
banyak konsep, banyak teori
banyak rumusan, banyak skrip
itulah duniaku sebagai pelajar.

bermacam perkataan tiba-tiba muncul
ku terkapai-kapai buat sementara.
ombak-ombak ganas menentang ku
programming, polygon, histogram, script,
apache, linux, java, C++, gelombang, format fail dan lain-lain
semuanya ku hadapi dengan tabah.

sanggup menyelam
mestilah juga tabah untuk mengutip mutiara
di dasar lautan.
kesukaran memang tidak dinafikan
tetapi pengetahuan tidak harus diketepikan.
kini dalam semester ke 6
ku telah mula belajar berenang.
harapan ku hanyalah satu
agar ku sampai ke pantai
dengan mutiara dari dasar.

Ya
inginku menggenggam
mutiara dari dasar OUM
agar dahagaku hilang.

(Previously published in Learner's Connexxion,
Open University of Malaysia, 7th Issue April 2005)

©cyclopseven. All rights reserved 300708

Manusia, di mana kamu?

Mentari pagi
Merenung keemasan
Menembusi langit timur
Mengimbasi alam sejagat
Segalanya keemasan
Mukjizat Pencipta Maha Pengasih.


Segalanya teratur
Seperti yang termaktub
Hukum-hukum alam
Tiada yang tidak sempurna.

Tapi mengapa kita manusia
Saban hari melangkaui batasan
Memporak perandakan segalanya
Tapi masih bergelar ‘manusia’.

Apakah kemanusiaan manusia
Sudah tergadai demi kerakusan?
Apakah belaian nafsu
Begitu melalaikan?

Entah kenapa ku tidak faham
Ku hanyalah bebayang
Yang seketika di alam maya ini
Menunggu masa untuk merantau ke alam yang abadi.

Biarlah penungguan ini
Ku isi dengan segala yang bermakna
Moga-moga manusia masih merasa, bahawa,
Kemanusiaan masih dijunjung tinggi.


©cyclopseven. All rights reserved 300708